Tengku Abdullah: Isu Bauksit, "Ambil Kira" Semua Aspek ~ BeritaSeo


KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu isu bauksit ditangani dengan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Tengku Abdullah bertitah, sebarang keputusan selepas tempoh moratorium tamat April ini harus mengambil kira semua aspek tanpa menyusahkan pihak tertentu.

Titahnya, selain menunggu laporan daripada kerajaan, pihaknya berharap terdapat had masa ditetapkan sekiranya industri itu diteruskan.

“Jalan penyelesaian yang memberikan kebaikan kepada semua perlu difikirkan, terutama mengambil kira kesan jangka panjang yang akan dialami.

“Secara peribadi, melalui perjumpaan dengan pengusaha perlombongan bauksit ini, mereka menerima keputusan kerajaan setakat ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat Lembaga Tabung Haji dan TH Plantations Berhad di Istana Abdul Aziz, di sini semalam.



Pada majlis itu, Tengku Abdullah berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan daripada Tabung Haji berjumlah RM2.78 juta dan TH Plantations Berhad berjumlah RM 504,987 yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Tengku Abdullah mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mengambil langkah sewenang-wenangnya dalam menjayakan industri itu.

Tengku Abdullah memberitahu, beliau belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkembangan semasa mengenai bauksit namun dimaklumkan bahawa aspek pengurusan bahan mineral itu di Pelabuhan Kuantan perlu ditambah baik.

Tempoh moratorium yang bermula 14 Januari lalu akan tamat pada 15 April ini.

Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berjaya mengutip zakat harta berjumlah RM111.3 juta pada tahun lalu membabitkan 78,220 pembayar.

Tengku Abdullah bertitah, pada tahun ini Muip menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM115 juta.

“Muip optimis dapat mencapai sasaran ditetapkan melalui usaha dan program kesedaran kepada pembayar zakat,” titah baginda. #sumber

Bagikan ke

0 Komentar