TEMERLOH: Seorang pemilik sebuah hotel, bertindak nekad mengejar empat penyamun termasuk seorang wanita sarat mengandung selepas kesemua individu terbabit memecah masuk rumahnya di Taman Bahagia Permai di sini, jam 12 tengah hari Sabtu lalu.
Mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30an kerugian RM30,000 akibat kejadian itu.
Ketika kejadian, dia baru tiba di rumah dan terserempak dengan kesemua penjenayah terbabit di hadapan kediamannya sebelum bertindak menghubungi polis dan mengejar semua suspek yang menaiki sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis yang menerima maklumat kemudian mengesan kereta dinaiki suspek yang sedang dikejar pemilik hotel terbabit.
Menurutnya, selepas dikejar sejauh kira-kira 10 kilometer, kenderaan dinaiki kesemua suspek berjaya dihalang di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah sekolah di Mentakab.
“Tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 48 tahun ditahan sebaik kenderaan dinaiki mereka terbabas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.
Anuar berkata, suspek utama berusia 37 tahun dipercayai perancang kumpulan pecah rumah itu mempunyai 11 rekod pecah rumah dan dadah manakala rakannya yang berusia 48 tahun mempunyai sembilan rekod pecah rumah dan dadah.
Beliau berkata, seorang lagi remaja lelaki berusia 19 tahun mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes pecah rumah dan dadah manakala wanita berusia 21 tahun yang mengandung enam bulan mempunyai satu rekod pecah rumah.
Menurutnya, semua suspek berasal dari Johor dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah serta melarikan kenderaan di sekitar Temerloh, Mentakab dan Jerantut.
“Polis menemui jam tangan berjenama, mata wang asing pelbagai negara, wang Malaysia dalam sampul, telefon bimbit, peralatan pecah rumah, heroin seberat 22 gram dan sebuah kereta Honda Accord curi yang dilaporkan hilang di Taiping, Perak pada 24 Mac lalu.
“Semua suspek direman sehingga 30 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Bagaimanapun, polis menyangkal dakwaan kumpulan itu terlibat dengan 30 kes pecah rumah seperti yang tersebar di media sosial, sebaliknya mengesahkan hanya menerima lima laporan kejadian pecah rumah. #sumber
0 Komentar