KUANTAN: Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan berjaya menahan 11 nelayan Vietnam selepas mengejar selama setengah jam di perairan Tioman, kelmarin.
Ketika kejadian, pasukan yang diketuai Asisten Superintendan, Mohd Shahril Khalid itu sedang melakukan rondaan di kawasan perairan Tioman menggunakan bot ronda PA 24 pada kira-kira jam 2.45 pagi,
Komander Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Zulkifli Saariat berkata, ketika berada pada kedudukan 20 batu nauktika, mereka mengesan sebuah bot yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Menurutnya, kru bot itu sempat memotong tali tunda dan memecut bot mereka untuk melarikan diri.
“Anggota kita terus mengejar bot berkenaan sebelum berjaya menahan kesemua kru 30 minit kemudian serta merampas sejumlah 200 kilogram pelbagai jenis hasil laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan adalah dari Vietnam dan tidak mempunyai lesen.
Katanya, polis akan terus memantau perairan dan mengadakan operasi bagi menahan, bukan sahaja bot nelayan asing tetapi bot nelayan tempatan yang melanggar undang-undang
Zulkifli berkata, hasil tangkapan nelayan asing berjumlah RM1.8 juta berjaya dirampas Pasukan Polis Marin sepanjang Mac ini, membabitkan penahanan tiga bot nelayan dari Vietnam.
“Penahanan itu membuktikan pihak kita serius menangani isu pencerobohan di lautan,” katanya. #sumber
0 Komentar