Qinzhou China Dan Kuantan, 
Jalin Kerjasama Persahabatan ~ BeritaSeo


KUANTAN:  Seramai 100 delegasi dari Qinzhou, China akan menyertai Program Bandar Raya Persahabatan Kuantan-Qinzhou di sini dari 1 hingga 3 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu bertujuan menjalinkan hubungan lebih erat berteraskan pelaburan, pelancongan dan kebudayaan. 

“Penganjurannya juga dapat memberi peluang kepada pelabur-pelabur bertukar pandangan dan pengalaman dalam meningkatkan pelaburan dua hala antara dua bandar ini.
“Menerusi program persahabatan ini, produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) berpotensi dikembangkan dan dipasarkan di China selain memper­kenalkan bandar ini sebagai destinasi pelancongan serta pelaburan,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy, sempena penganjuran berkenaan, pelbagai program menarik diadakan antaranya Ekspo Kuantan-Qinzhou, Seminar Pahang 2020, aktiviti kesenian dan kebudayaan, perlawanan sukan persahabatan, pertukaran belia serta gerai pameran melibatkan produk IKS.

Beliau berkata, delegasi dari Qinzhou juga akan dibawa ke tempat-tempat pelancongan di daerah ini seperti Sungai Lembing, festival makanan tempatan dan latihan kerja pegawai kedua-dua bandar.

“Pelbagai acara menarik turut disediakan kepada orang ramai yang boleh disertai oleh semua pe­ringkat.

“Program ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam perniagaan dan pelaburan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur dari China untuk merealisasikan persefahaman yang dimeterai,” ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh menghubungi Sekreteriat Qinzhou Day di talian 09-5121555 atau layari laman web MPK www.mpk.gov.my.  #sumber

Bagikan ke

Related Post:

0 Komentar