UNTUK pecahkan adat kuno politik negara yang selama ini hanya mengenali politik samada parti kerajaan atau pembangkang sahaja. Politik sebegini membosankan dan bersifat menyokong atau bangkang semata-mata tanpa rasional dan toleransi. Apa dari pihak kita akan disokong walaupun buruk dan apa dari musuh akan dibangkang walaupun baik.
BN yang selama ini memerintah negara, kini berdepan krisis parah. Pergolakan Umno menyebabkan ramai ahlinya sudah tawar hati dan mula mencari sinar baru. Parti mereka sudah tidak boleh diharapkan lagi. Kepimpinannya bertelagah soal jawatan dan habuan tanpa lagi mempedulikan persepsi awam.
Pakatan Harapan yang baru dibentuk sebagai koalisi pembangkang tidak dapat memberikan harapan kepada rakyat. Belum sampai setahun, pakatan tersebut sudah berselisih dalam soal pembahagian kerusi dan beberapa isu politik. Mereka lebih banyak bercakap soal jawatan dan kerusi selain dari menjadi pengulas percuma yang konsisten kepada setiap strategi PAS.
Kemunculan Mahathir lewat penyingkiran anaknya dari kerusi MB semakin membosankan rakyat. Tokoh itu tidak bertindak sebagai 'orang tua' dalam menyelesaikan masalah negara tetapi sama ikut dengan nafsu orang muda. Pembangkang pula yang selama ini menjadi musuh nombor satu beliau tiba-tiba sahaja menjulang tinggi namanya menambah keliru rakyat tentang politik tanahair.
PAS adalah parti paling stabil ketika ini sementara parti kerajaan bergolak dan parti pembangkang lain juga bertelagah. Penyertaan PAS dalam mana-mana pihak tersebut bakal menyebabkan nama PAS tercemar. Perlunya PAS mencari pakatan baru yang lebih matang dan dapat memberi keyakinan kepada rakyat, jauh dari wajah buruk kedua-dua pihak.
Rakyat sudah menjauhi politik. Walaupun kesal dengan sikap kerajaan, tetapi mereka masih tidak meyakini keikhlasan parti politik lain membantu rakyat. 30 juta rakyat Malaysia, separuh darinya layak mengundi tetapi tidak sampai 5 juta sahaja berdaftar sebagai ahli mana-mana parti. Pendaftaran pemilih juga lembab apabila lebih sejuta orang Melayu tidak berdaftar. Fenomena ini amat tidak sihat untuk masa depan negara.
Menyingkir idealisme politik sempit dan politik emosi. Politikus dewasa ini mempengaruhi rakyat untuk bercakap politik bersifat menyerang individu, bukan soal dasar dan polisi. Perbincangan politik lebih menumpu kepada isu sahaja dan bukan ideologi dan wawasan. Seseorang dikira berpolitik jika bercakap tentang anak Najib, rambut Rosmah atau sebut perkataan Umno, PAS dan sebagainya tetapi tidak dikira berpolitik jika bercakap soal falsafah pendidikan, masa depan generasi muda atau sistem sosial jika tidak diselit nama parti. Begitulah mentaliti umat mutakhir ini.
Negara perlukan penyelesaian bukan sekadar kritikan. Peranan pembangkang sedia ada tidak lebih dari menjadi penyiasat upahan yang menilai setiap gerak geri kerajaan dan mencari ruang untuk mengutuk tanpa mengemukakan idea mengatasinya. Lebih malang, ada yang beralasan memberi idea itu hanya membantu memulihkan imej kerajaan sahaja. Inilah pemikiran politik tidak matang.
NGO non partisan yang mencurah bakti kepada rakyat dan prihatin kepada masalah negara tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Mereka terdiri dari sukarelawan yang tidak mengejar jawatan, kemasyhuran mahupun habuan tetapi popular di kalangan masyarakat setempat dan boleh diterima setiap pihak. Justeru, NGO ini perlu disatukan atas aspirasi bersama iaitu untuk ikhlas berkhidmat kepada rakyat dan melihat anak bangsa berjaya. Inilah sikap 'berpolitik tidak berparti'.
Negara hanya akan maju apabila rakyat celik politik. Tetapi biarlah matang dan tidak bersifat sektarian/asobiyah. Kebenaran itu beragama, tetapi tidak berparti. #sumber
0 Komentar