KUANTAN: Sektor kimia dan petrokimia di negara ini dijangka terus berkembang pesat dipacu dengan pembinaan loji baharu berteknologi tinggi, loji reaktif tinggi poli-isobutene (HR-PIB) di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.
Loji bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara itu bakal memulakan produksi pada suku keempat 2017 di BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd. baru-baru ini
.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong berkata, projek terbaharu syarikat kimia yang berpangkalan di Jerman, BASF dan Petronas Chemical Group Bhd. (PCG) itu merupakan kesinambungan daripada kerjasama jangka panjang kedua-dua syarikat selepas pelancaran loji pengeluaran asid ethylhexanoic 2 (2-EHAcid) tahun lalu dan Kompleks Bahan Aroma Bersepadu pada tahun 2014, juga di Gebeng.
“Pelbagai peluang dan cabaran bagi industri kimia dan petrokimia di negara ini pada tahun ini. Sektor kimia dan plastik mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 14 peratus tahun lalu yang membawa kepada pendapatan sebanyak RM68.4 bilion berbanding hanya RM58.8 bilion pada 2014.
“Eksport produk kimia dan petrokimia menyumbang sebanyak RM122.5 bilion atau 15.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara pada 2015 yang mana implementasi projek HR-PIB ini dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan industri serta eksport negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji HR-PIB di BASF Petronas Chemical Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Yang hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah serta Naib Presiden Kanan BASF, Martin Widmann.
HR-PIB merupakan bahan pengantara yang penting bagi pengeluaran bahan api berprestasi tinggi dan bahan tambahan minyak pelincir selain digunakan secara meluas dalam komponen minyak enjin.
Sementara itu, Sazali berkata, pembinaan loji berkenaan yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 tan metrik HR-PIB setahun akan memperluaskan lagi rangkaian penawaran produk keluarannya selaku peneraju pengeluar bahan kimia bersepadu di nagara ini di samping merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
“Pembinaan loji pertama seumpamanya di Asia Tenggara ini akan mengukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua syarikat selain membawa kepada pertukaran teknologi dan pengetahuan antara kedua-dua negara,” katanya. #sumber
0 Komentar