TEMERLOH: Cuaca panas yang sedang melanda negara dan perubahan landskap di Sungai Pahang ekoran kerakusan tangan-tangan manusia merosakkan alam sekitar mengakibatkan sungai tersebut semakin cetek sehingga menyebabkan kerugian kepada para penternak ikan patin dalam sangkar di Kampung Bangau Parit, di sini.
Seramai 10 penternak di situ mengalami kerugian hampir RM700,000 apabila 100 sangkar ikan milik mereka yang sepatutnya berada di dalam air kini terletak di daratan akibat paras Sungai Pahang yang semakin menurun.
Seorang penternak, Kamaruddin Jalil, 42, berkata, Sungai Pahang yang menjadi nadi aktiviti nelayan sungai dimasuki pasir disebabkan aktiviti penerokaan hutan dan perlombongan yang mengubah landskap semula jadi sungai berkenaan.
Katanya, cuaca panas pada masa ini memburukkan lagi keadaan apabila paras air Sungai Pahang semakin cetek menyebabkan kebanyakan sangkar ikan kini terletak di atas pasir.
“Saya resah memikirkan masa depan apabila projek ternakan ikan dalam sangkar ini tidak dapat beroperasi akibat paras air Sungai Pahang yang semakin cetek dari sehari ke sehari,” katanya di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penternak, Mohamad Al Hafiz, 30, pula mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila 20 sangkar ikan yang diusahakannya tidak dapat beroperasi akibat kawasan ternakan kering dan dipenuhi pasir.
Dia berharap pihak berkuasa dapat membantu para penternak yang semakin terdesak khususnya bagi membayar pinjaman modal dengan bank perdagangan.
“Penternak terikat dengan pinjaman bank yang mana mereka terpaksa mencari sumber alternatif lain untuk membayar pinjaman bagi mengelakkan daripada disenaraihitamkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Bangau Parit, Fadhli Dzulkarnain Mohd. Norawi berkata, masalah penternak tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, pelan tindakan jangka pendek yang dicadangkan adalah dengan mendalamkan sungai yang paras airnya semakin cetek.
“Pasir yang ada di tengah Sungai Pahang hingga ke tebing sungai boleh memuatkan beberapa padang bola sepak. Sangkar ikan bukan lagi terletak di dalam sungai tetapi di atas pasir. “Jika masalah ini tidak di atasi segera, bekalan ikan patin di Temerloh akan terus merosot,” katanya. #sumber
0 Komentar