Nazim Sahut Seruan, Akan Failkan Saman Terhadap Rafizi ! ~ BeritaSeo

PETALING JAYA : Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB), Ahmad Nazim Abdul Rahman menyahut cabaran Rafizi Ramli dan akan memfailkan saman sivil terhadap Setiausaha Agung PKR itu.
Menyifatkan serangan Rafizi sebagai tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, Nazim berkata Rafizi tidak mengemukakan fakta yang menunjukkan beliau mendapat faedah kewangan daripada syarikat-syarikat yang dinamakan dalam urusniaga Dudley House oleh Mara Inc.
Malah, Rafizi juga gagal mengemukakan bukti yang menunjukkan percanggahan kepentingan di pihaknya selaku CEO Pelaburan MARA Berhad.
“Beliau tidak boleh lari dari isu ini dan memilih untuk terus membuat tuduhan berdasarkan maklumat yang tidak relevan,” tegas Nazim, dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Kenyataan itu merupakan jawapan kepada cabaran Rafizi awal hari ini, yang mencabar Nazim supaya menyamannya jika tuduhannya salah.
Rafizi sebelum ini mendakwa MARA melalui anak syarikat, Thrushcross Land Holdings Limited telah membayar AUD$22.5 juta untuk membeli Dudley House, Melbourne pada 2013, iaitu AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Rafizi mendakwa Dudley House dibeli pada harga yang lebih mahal kerana melibatkan bayaran ‘komisen’ sebanyak AUD$4.7 juta.
Nazim, menurut Rafizi, adalah pegawai MARA yang menghantar invois berbentuk bayaran komisen kepada syarikat penjual Dudley House itu, Wanissa Properties Pty Ltd.
Wanissa, menurut Rafizi dimiliki oleh dua orang individu, yang memiliki saham di sebuah syarikat bernama Midwest Equity Sdn Bhd.
Rafizi mendakwa Nazim mempunyai percanggahan kepentingan kerana pernah menjadi ahli lembaga pengarah Midwest Equity.
Mengulas lanjut, Nazim melahirkan rasa kesal diatas kecenderungan Rafizi membuat kesimpulan berdasarkan tanggapan dan maklumat-maklumat yang tiada kaitan.
“Kenyataan Rafizi Ramli yang terbaru adalah satu lagi kenyataan kitar semula dan contoh terbaik bagaimana beliau sering memilih taktik menggunakan maklumat yang tidak relevan untuk mengaitkan seseorang dengan sesuatu tuduhan.” #sumber

Bagikan ke

0 Komentar