Najib Tegur Tun Dr Mahathir, Tahap Kesabaran Ada Hadnya ~ BeritaSeo


KUANTAN: Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup membelakangkan prinsip dan menjalinkan kerjasama dengan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, tindakan Mahathir itu seolah-olah melanggar prinsip dipegang selama ini dengan bertindak menjatuhkan kerajaan dipilih secara demokrasi.

“Dia (Mahathir) sudah lupa apa yang dilakukan pembangkang sepanjang 22 tahun beliau menjawat jawatan sebagai perdana menteri dan tindakan menandatangani Deklarasi Rakyat oleh Mahathir seperti mengkhianati prinsip perjuangan Umno selama ini.

“Selama ini ramai orang suruh saya bersabar. Memang saya boleh (bersabar). Tapi perlu diingat, tahap kesabaran ada hadnya. Jangan sampai mereka pijak kepala kita. Mereka sepak kepala kita.

''Jangan kita terlalu nak berpolitik. Semua benda nak politik..cukup-cukuplah. Selama 22 tahun jadi perdana menteri..siapa yang kutuk DAP dulu. Siapa yang cakap Lim Kit Siang rasis (perkauman). Jadi, apabila kita tengok dia (Tun Dr Mahathir) peluk Kit Siang  dan tandatangan Deklarasi Rakyat,  apa maknanya itu?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti yang dihadiri lebih 5,000 rakyat negeri ini bagi menunjukkan sokongan terhadap Najib di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), semalam.



Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob.

Najib berkata, beliau tidak akan mengalah dengan serangan pelbagai pihak untuk melemahkan beliau dan parti Umno di negara ini, sebaliknya beliau akan terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi ekonomi negara dan kebajikan rakyat.



Malah, Najib juga menolak semua dakwaan daripada pihak luar bahawa beliau mencuri harta rakyat.

“Tuan-tuan dah kenal saya dan saya bukan seperti yang diperkatakan oleh orang belah sana. Malah, saya telah menjaga Pahang sebaik-baiknya.



“Kalau saya hendak rompak sudah lama saya rompak hutan sini. Saya tidak ambil satu inci pun, sebatang pokok di Pahang pun saya tidak ambil..saya tidak ambil lombong bauksit dan saya tidak ambil apa-apa pun. Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat,” katanya. #sumber

Bagikan ke

0 Komentar