Makin Kerap Dr M Buka Mulut, Makin Besar Risiko Di Tahan ~ BeritaSeo

KUALA LUMPUR: Semakin kerap Tun Dr Mahathir Mohamad membuka mulutnya, semakin banyak bukti dapat dikumpul polis untuk menyiasatnya, tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau menyifatkan ucapan Mahathir di Kongres Rakyat, Ahad lalu adalah berbaur hasutan dan khianat, terutama apabila beliau dilaporkan menggesa kaedah ‘di luar kotak’ untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau menyeru orang ramai untuk ‘berfikir di luar kotak’ dan melangkaui Perlembagaan. Bukankah negara ini dipandu dengan Perlembagaan Persekutuan?
“Anda perlu mematuhi Perlembagan. Apa yang diseru itu boleh dianggap menghasut dan khianat. Lebih banyak beliau bercakap, lebih banyak kesilapan yang akan dibuatnya,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
Mahathir antaranya dilaporkan menggesa Raja-raja untuk masuk campur dan mendesak Najib meletakkan jawatan ekoran pelbagai dakwaan salah laku termasuk salah urus dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma politik RM2.6 bilion.
Mahathir juga berkata, akan mengadakan jelajah ‘Selamatkan Malaysia’ di seluruh negara, dengan tujuan membangkitkan kesedaran rakyat tentang betapa pentingnya untuk Najib berundur.
Mengulas perkara itu, Nur Jazlan menganggap jelajah tersebut tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan.
“Jika mereka ingin teruskan, boleh. Apa yang dia (Mahathir) lakukan hanyalah menagih simpati orang ramai. Himpunan itu tidak dapat banyak sokongan, maka kami akan menganggapnya sebagai aksi politik (sahaja).
“Tetapi jika dia terus berkata hal-hal yang boleh dianggap satu kesalahan, contohnya di bawah Akta Hasutan, atau jika dia berkata mereka (rakyat) perlu melangkaui Perlembagaan, kami akan ambil tindakan,” katanya lagi. #sumber

Bagikan ke

0 Komentar