ROMPIN: Bangkai seekor penyu tidak sengaja ditemui beberapa penduduk di pantai Sungai Lumpur, Tanjung Gemuk, petang semalam ketika mereka bersiar-siar untuk melihat aktiviti memukat udang di pantai itu.
Ketua Kampung Tanjung Gemok, Mohd Zaker Awang, berkata, pada mulanya tidak perasan ia merupakan bangkai penyu dan menganggap ia objek lain yang terdampar dihanyutkan ombak.
“Petang semalam, saya bersama Penghulu Mukim Endau, Zulkifli Muda dan dua lagi rakan pergi ke pantai Sungai Lumpur untuk melihat aktiviti penduduk di sini memukat udang tetapi disebabkan keadaan ombak kuat jadi mereka tidak turun ke pantai.
“Kami terus meninjau-ninjau di kawasan pantai dan melihat ada satu objek besar terdampar. Kami pergi lebih dekat untuk mendapatkan kepastian dan ia rupanya bangkai seekor penyu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, melihat pada keadaan fizikal penyu itu ia seperti telah mati beberapa hari lalu dan setakat ini ia masih di lokasi kerana tidak dialih serta tiada aduan dibuat kepada pihak berkaitan.
“Ini kali pertama saya temui bangkai penyu di pantai ini tetapi seorang rakan pernah temui beberapa tahun lalu di kawasan pantai ini juga. Kami tidak pasti apa puncanya tetapi memang kasihan melihat penyu yang besar mati sebegitu,” katanya.
Kejadian penduduk menemui bangkai penyu di kawasan sepanjang pantai Kuala Rompin bukan suatu yang luar biasa kerana pada 2014 sebanyak tiga ekor penyu jenis Agar telah ditemui di Pantai Hiburan, di sini.
Pada tahun yang sama dua kejadian penemuan bangkai penyu juga dilaporkan di pantai Endau, Johor melibatkan lokasi berbeza sekali gus menjadikan sebanyak tujuh bangkai penyu telah ditemui sepanjang pantai Mersing hingga Kuala Rompin. #sumber
0 Komentar