KERAMBIT: Kehidupan pesakit asma, Ismail Bakar, 78, kini bergantung sepenuhnya kepada isteri dan anak mereka kerana dia sudah tidak mampu lagi mengurus diri.
Warga emas yang terlantar sakit di rumahnya di Kampung Beluan, di sini, sejak lima bulan lalu itu dibantu isteri, Salamah Ahmad, 67, dan anak yang tinggal berdekatan.
Lebih menyedihkan, kudrat Salamah juga tidak kuat kerana menghidap darah tinggi dan kencing manis.
Menurutnya, suaminya hanya terlantar di katil dan memerlukan lebih RM1,500 sebulan untuk membeli keperluan ubat-ubatan dan lampin pakai buang.
Bagi membantu memudahkan suami bernafas, dia membelanjakan wang sebanyak RM500 untuk membeli alat bantuan pernafasan.
“Awalnya, makcik beli alat bantuan pernafasan yang guna elektrik tetapi timbul masalah jika bekalan elektrik terputus,” katanya baru-baru ini.
Jelasnya, bagi mengelakkan perkara itu berulang, dia membeli alat pernafasan yang berfungsi menggunakan bateri.
Salamah berkata, kos perubatan dan keperluan Ismail dikongsi bersama anak-anak tetapi masih tidak mencukupi kerana harga ubat yang mencecah ribuan ringgit selain penggunaan lampin pakai buang.
Lebih menyedihkan katanya, Ismail pernah beberapa kali pengsan kerana penyakitnya dan sejak itu suaminya perlu perhatian keluarga lain jika dia tiada di sisi.
“Sejak itu, jika nak solat, makcik akan pastikan anak-anak ada bersama bapa mereka kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku jika dia dibiarkan sendirian,” katanya.
Dia bernasib baik dapat meminta bantuan anak lelaki yang tinggal berhampiran untuk bersama-sama menguruskan suaminya. #sumber
0 Komentar