Sungai Nyior Balok Tercemar Lagi, Air Bertukar Jadi Hitam ! ~ BeritaSeo


KUANTAN: Air bertukar menjadi hitam dan berbau busuk, itu keadaan Sungai Nyior di Balok Baru, di sini yang tercemar dan menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat terutamanya nelayan.

Difahamkan, pencemaran itu disebabkan oleh air kumbahan dan sisa dari pusat pelupusan sampah berhampiran muara sungai.

Penduduk mendakwa, ia kejadian kedua memandangkan pencemaran sama pernah berlaku Julai tahun lalu.

Seorang penduduk, Mustaffa Ibrahim, 52, berkata, tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah itu hingga penduduk dan nelayan sungai menanggung akibatnya.

Katanya, dia berasa curiga melihat pencemaran semakin buruk setiap kali melalui kawasan terbabit.

“Dulu airnya berwarna kelabu dan sekarang bertukar kehitaman kerana tiada tindakan sedangkan pencemaran ini dikesan sejak tahun lalu.

“Saya ada terhidu bau yang tak menyenangkan pagi Jumaat lalu dan baunya semakin kuat menjelang tengahari, membuatkan penduduk rasa tak selesa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, sebelum ini sungai itu menjadi lokasi memancing dan tumpuan nelayan untuk mencari ketam nipah.

Katanya, masalah itu pernah diadukan kepada Jabatan Saliran dan Pengaliran (JPS), namun tiada sebarang maklum balas diterima setakat ini.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Balok Baru, Shaharuddin Mohamad, 46, berkata, dia meminta agensi berkaitan memantau kawasan itu kerana pencemaran sungai menjejaskan nelayan.

Katanya, sebelum itu sungai berkenaan pernah tercemar akibat bauksit dan air bertukar hitam mungkin disebabkan bahan kimia.

Menurutnya, penduduk setempat bimbang dengan keadaan itu dan mahu tindakan segera diambil bagi mengatasinya.

Mengulas mengenai dakwaan penduduk itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian itu, namun telah mengambil sampel air sungai terbabit Ahad lalu.

“Sampel air di sungai telah diambil ketika tinjauan dilakukan minggu lalu setelah mendapati air yang sebelum ini berwarna coklat bertukar menjadi hitam.

“Sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian selanjutnya sebelum tindakan susulan dapat diambil.

“Keputusan mengenainya akan diperoleh dalam tempoh dua minggu,” katanya. #sumber

Bagikan ke

0 Komentar