JERANTUT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pahang akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) siasatan rasuah berkaitan aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Zainul Darus berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan atas arahan ibu pejabat SPRM bagi memantapkan siasatan terhadap penguat kuasa di semua agensi kerajaan.
“SPRM masih meneruskan pemantauan dan siasatan terhadap perlombongan bauksit, termasuk kes rampasan dan sitaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penerangan dan Dialog SPRM Bersama Pemimpin Masyarakat Cina, anjuran Dewan Perniagaan Cina Jerantut (DPCJ), di Jerantut Hill Resort, kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Zainul berkata, Program Pendidikan Masyarakat berkaitan pencegahan rasuah dilaksanakan menyeluruh tanpa mengira ideologi politik.
"Kita akan turun padang memberi penerangan selain berdialog di pelbagai peringkat berhubung bahaya rasuah dan langkah pencegahan," katanya.
Beliau berkata, SPRM turut menyasarkan program itu menerusi pembabitan aktif ketua masyarakat, Dewan Perniagaan Cina, pemborong, jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK) dan NGO.
“Kita akan berjumpa dan memberi penerangan kepada ahli politik BN dan parti pembangkang secara berperingkat untuk menjelaskan hal sama di samping menagih peranan mereka dalam menimbulkan kesedaran orang ramai.
“SPRM tidak pilih bulu, pangkat, usia dan fahaman politik terhadap usaha menangani rasuah sebaliknya siasatan terperinci akan dibuat supaya mereka yang terlibat menerima hukuman,” katanya.
Katanya, usaha SPRM itu untuk menzahirkan kesungguhan membanteras rasuah dan langkah pencegahan bermula daripada peringkat pemimpin sehingga akar umbi.
"Kita puji usaha ahli jawatankuasa DPCJ mengumpulkan ketua masyarakat kaum Cina menyertai majlis ini sekali gus mereka berikrar menolak kegiatan rasuah dalam semua urusan perniagaan," katanya.
Sementara itu, Presiden DPCJ, Datuk Seri Lim Ah Chap berkata, DPCJ berikrar menolak sebarang unsur rasuah dalam urusan perniagaan, termasuk mengingatkan ahlinya supaya tidak menggunakan wang dan hadiah untuk memudahkan urusan dengan agensi kerajaan dan pihak tertentu.
“Kita berikrar akan melaporkan kepada SPRM jika wujud unsur rasuah dalam kalangan ahli perniagaan.
"Ahli DPCJ juga akan mengikis tabiat lapuk sekali gus membantu SPRM mendidik masyarakat Cina supaya menjauhi rasuah," katanya. #sumber
0 Komentar