PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Said akan mengadakan satu sidang media berhubung tindakan Pejabat Menteri Besar Terengganu menghentikan penyaluran peruntukan DUN Kijal kepadanya.
Kini, semua pengurusan dana untuk DUN itu diuruskan secara langsung oleh Pejabat Menteri Besar.
“Minggu depan saya akan buat satu sidang media mengenai perkara ini. Jadi, buat masa sekarang saya tidak mahu komen,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyatakan tindakan menghentikan penyaluran peruntukan DUN Kijal kepada Ahmad Said merupakan langkah yang tepat.
Razif dilaporkan berkata tindakan Ahmad Said mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN baru-baru ini tidak membawa imej sebagai wakil rakyat kerajaan.
“Kita hentikan untuk diuruskan oleh ADUN kawasan itu sahaja tetapi bajet untuk Kijal (DUN) masih berjalan macam biasa tapi diuruskan di bawah Pejabat Menteri Besar.
“Kita melihat bahawa apa tindakan yang ditunjukkan tidak mencerminkan kepada wakil rakyat kerajaan maka kerana itu saya sebagai pemimpin kerajaan sekarang, akan mengambil alih (dana),” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran di Hentian Bas MBKT di Kuala Terengganu, pada Ahad.
Ditanya tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlakukan Ahmad seperti kawasan pembangkang, Ahmad Razif menyerahkan persepsi itu dinilai oleh umum termasuk Ahmad.
“Itu terpulang kepada dia (Ahmad),” jawabnya ringkas.
Kemungkinan Ahmad akan berpaling tadah dan boleh menyebabkan kedudukan kerusi BN dan pembangkang seri, Ahmad Razif berkata, ia tidak menjejaskan kerajaan yang dipimpinnya sekarang. #sumber
0 Komentar