BERA: Penduduk di Felda Bukit Puchong termasuk sekitar perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Tuang dekat sini mengeluh berikutan berhadapan masalah terputus bekalan air bersih sejak seminggu lalu.
Batin Kampung Sungai Tuang, Berahim Busu berkata, masalah yang berlaku ketika musim panas kini ternyata menyukarkan penduduk.
“Kalau terputus dua atau tiga hari tu tak mengapalah, tapi kalau dah berlarutan macam ni kami tak mampu nak bertahan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan setiap rumah di tanah rancangan tersebut malah masjid, pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) dan sekolah turut merasa kesannya.
Difahamkan, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) untuk tindakan susulan.
Sementara itu, tenaga pengajar PDK, Norazliena Hussin berkata, walaupun bekalan air belum pulih, pelatih yang terdiri daripada anak-anak istimewa masih menghadiri kelas harian mereka.
Katanya, tanpa bekalan air bersih sedikit sebanyak menggugat aktiviti harian pelatih.
“Selalunya masalah ini berlaku pada musim cuti sekolah atau musim perayaan kerana peningkatan jumlah penggunaannya namun kali ini kami tak pasti apa puncanya.
“Situasi kali ini lebih menyusahkan kerana hendak masak pun kena cari alternatif lain,” katanya. #sumber
0 Komentar