PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar didesak melepaskan jawatan sebagai langkah tanggungjawab terhadap kematian Aminulrasyid Amzah.
Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen, berkata tindakan Khalid secara terang-terangan mahu melindungi pegawai bawahannya yang didapati bersalah terhadap kematian Aminulrasyid.
“Maklumat yang diberikan Khalid kepada media sebelum ini adalah satu percubaan untuk menyembunyikan kematian Aminulrasyid yang mati ditembak polis.
“Mahkamah juga telah mendapati Aminulrasyid mati ditembak atas sikap kecuaian Koperal Jenain Subi bertindak melulu dan bertentangan dengan piawai dalam perintah tetap Ketua Polis Negara.
“Kami mendesak Khalid bertanggungjawab dengan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Khalid bersalah dan memerintahkannya untuk membayar ganti rugi RM100,000 bagi kemungkiran awam yang dilakukan oleh Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor.
Ini berikutan kenyataan Khalid yang dibuat sehari selepas berlakunya kematian Aminulrasyid dengan mendakwa, polis telah menemui sebilah parang dan mendakwa Aminulrasyid cuba melanggar kereta polis.
Selain itu, keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati terkena tembakan polis enam tahun lalu, memperoleh ganti rugi RM414,800 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap Koperal Jenain Subi dan empat yang lain.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan tuntutan itu selepas mendapati pihak keluarga mangsa berjaya membuktikan dakwaan mereka terhadap defendan.
Dalam penghakimannya sebentar tadi, Ahmad Zaidi berkata, setelah meneliti keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati Koperal Jenain Subi bertindak secara melulu dan bertentangan dengan piawai dalam perintah tetap Ketua Polis Negara.
Saman difailkan oleh Norsiah dan kakak mangsa, Nor Azura Amzah terhadap Jenain, yang didakwa melepaskan tembakan dalam kejadian kejar-mengejar berkereta pada malam 26 Apr 2010; Ketua Polis Daerah Shah Alam pada waktu kejadian; Tan Sri Khalid; Ketua Polis Negara masa itu dan Kerajaan Malaysia, pada 17 April 2013.
Keluarga remaja terbabit menuntut ganti rugi hampir RM50 juta untuk kematian anak dan adik mereka yang didakwa akibat luka terkena peluru.
Jenain disabit kesalahan oleh Mahkamah Sesyen kerana mengakibatkan kematian Aminulrasyid pada 13 Sep 2011. #sumber
0 Komentar