Shahaniza berkata, kesemua 162 kanak-kanak yang ditempatkan di rumah perlindungan itu dijaga rapi dan berada di tempat yang telah diwartakan sebagai selamat.
Menurutnya, selepas kisah rumah perlindungan itu menjadi viral dan mendapat liputan akhbar, beliau segera membuat lawatan kerja semalam bersama pemberita untuk melihat sendiri keadaan sebenar yang berlaku.
“Segala dakwaan sebelum ini tidak tepat kerana kesemua anak-anak di sini dijaga dengan baik dari segi kesihatan dan kebersihan diri mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke rumah perlindungan itu bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nor Tipah Majin.
Menurutnya, setiap minggu kanak-kanak di situ mendapat rawatan doktor dan jika perlukan rawatan susulan mereka akan dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menjawab dakwaan kononnya kanak-kanak terpaksa membasuh pakaian sekolah sendiri, beliau berkata ia perlu dilihat dari sudut positif, bukannya penganiayaan.
Katanya, kanak-kanak yang boleh berdikari diajar menguruskan diri sendiri dengan pemantauan daripada kakitangan yang bertugas.
Menurut Shahaniza, kesemua kanak-kanak itu di bawah seliaan 97 kakitangan dengan purata dua kanak-kanak setiap seorang kakitangan.
“Bagi saya tiada istilah tidak cukup kakitangan kerana mereka masih boleh menjaga 55 kanak-kanak lelaki dan 109 kanak-kanak perempuan manakala 74 daripada mereka sudah pun bersekolah.
“Mereka mendapat hak penjagaan sebagaimana diperintahkan mahkamah kerana mereka tidak seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Berhubung isu dewan makan yang ditutup sejak Jun tahun lalu, katany, ia untuk kerja-kerja ubah suai dan akan dibuka tidak lama lagi.
Menurutnya, proses penyediaan makanan juga perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan khasiat makan.
Beliau tidak menolak motif dakwaan pengabaian disebarkan mungkin masalah dalaman yang dihadapi pihak tertentu dengan pusat berkenaan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu akan ditangani bersama pihak JKM agar ia tidak terus menjadi isu yang dipolitikkan.
“Hari ini (semalam), saya puas hati dengan keadaan pusat perlindungan di mana 90 peratus adalah mengikut Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya harap tiada lagi pihak yang cuba memburukkan keadaan,” tegasnya. #sumber
0 Komentar