Bauksit: Pengusaha Berjanji, Akan Patuhi SOP Melombong ! ~ BeritaSeo


KUANTAN: Pertubuhan Pengusaha Mineral Negeri Pahang (PPMNP) berjanji akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung semua operasi bauksit selepas berakhirnya tempoh moratorium 15 April ini.

Ahli Jawatankuasanya, Ahmad Fauzi Hassan berkata, jaminan itu diberikan bagi membolehkan kerja-kerja perlombongan bauksit dapat diaktifkan seperti sebelum ini.

Menurutnya, dalam memastikan semua pengusaha bauksit mematuhi SOP ditetapkan, pelbagai persediaan dibuat seperti ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak pencemaran alam sekitar.

“Apa sahaja SOP, pihak kita akan ikut dan patuh termasuk guna lori paka dan laluan baharu angkut bahan itu dari kawasan perlombongan sehingga ke Pelabuhan Kuantan.

“Kita bersedia dari pelbagai sudut dan saya percaya SOP bakal diperkenalkan, dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga hari ini kerajaan masih belum menjelaskan SOP baharu secara terperinci.

“Kita belum diberi penjelasan berhubung lori paka yang akan digunakan pengusaha dan laluan bakal digunakan secara terperinci.

“Ini membuatkan kita risau dan bimbang, memandangkan tempoh moratorium akan berakhir tidak lama lagi. Sebolehnya kita tidak mahu tempoh dilanjutkan,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, pihaknya memberikan beberapa cadangan bagi mengawal pencemaran alam sekitar.

Katanya, cadangan itu melibatkan kaedah pencucian, kerja pemunggahan bauksit daripada kawasan lombong ke Pelabuhan serta laluan baharu yang akan diperkenalkan.

Hampir 300 pengusaha, kakitangan dan pekerja bauksit menghantar memorandum kepada wakil Kementerian Alam Sekitar bagi meminta kerajaan meneruskan aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

Rombongan berkenaan turut disertai kira-kira 500 penduduk dan memorandum diserahkan Ahmad Fauzi kepada wakil kementerian itu di hadapan bangunan Parlimen, di ibu negara kelmarin.

Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Dr Sharudin Mohd berkata, seramai 248 peneroka dari Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan mahu kerajaan meneruskan perlombongan bauksit di kawasan tersebut dengan mematuhi   SOP dan setiap peraturan ditetapkan.

Katanya, kerajaan diminta  berbincang dengan semua pihak berhubung isu tersebut. #sumber

Bagikan ke

Related Post:

0 Komentar