PAS: Kerajaan Di Gesa Supaya Wujudkan Pelan Kecemasan ~ BeritaSeo


TEMERLOH:  Kerajaan digesa mewujudkan pelan kecemasan bagi membela nasib kira-kira 30 penternak ikan sangkar di sini, yang terpaksa menanggung kerugian dianggarkan lebih RM2 juta akibat cuaca panas dan sungai surut.

Suhu panas melebihi 37 darjah Celsius dan paras air Sungai Pahang yang cetek mengakibatkan lebih 100 sangkar ikan terdampar di atas pasir, menyebabkan sebahagian besar ikan patin dan tilapia mati.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Md Jusoh Darus (foto) yang turut melawat mangsa meminta kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Perikanan, mencari pelan jangka panjang dan jangka pendek seperti memberi elaun sara hidup kepada penternak ikan terbabit.

Menurutnya, dalam tempoh kritikal ini, kerajaan tidak sepatutnya lepas tangan kerana mereka juga pembayar cukai melalui lesen pendudukan sementara tapak sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang.

“Nelayan sungai sepatutnya layak menerima elaun sara hidup bulanan seperti nelayan laut dalam keadaan keperitan hidup masa kini kerana sebahagian besar daripada mereka bergantung sumber pendapatan 100 peratus kepada jualan ikan sangkar,” katanya ketika melawat pengusaha ikan sangkar di Kampung Teluk Ira, di sini.

Md Jusoh berkata, kini sudah ada beberapa insentif diberikan kepada penoreh dan petani justeru beliau berharap nasib penternak ikan sangkar juga tidak dilupakan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Temerloh, berjanji akan mengerahkan Dewan Ulamak Pas mengadakan solat istisqa pada masa terdekat bagi mengadu nasib kepada ALLAH SWT berhubung nasib penternak ikan sangkar yang sedang kesusahan.



Sementara itu, penternak ikan sangkar yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Itam Rahim berkata, cuaca panas berpanjangan sejak tiga bulan lalu tidak pernah dialami sejak 15 tahun dia mengusahakan ternakan sangkar ikan patin dan tilapia.

Dia yang 27 sangkar ikan berkata, jika tiada sebarang usaha pemulihan dilakukan, perusahaan ternakan ikan sangkar boleh pupus.

“Saya sendiri kerugian tak kurang RM70,000. Mula-mula, ternakan saya hanyut 100 peratus ketika dilanda bah besar 2014 sehinggakan tak dapat tampung kos pengeluaran.

“Lepas banjir besar, Sungai Pahang alami fenomena luar biasa apabila pasir turun ke hilir dengan banyak sehingga menyebabkan aliran air menjadi sempit dan mengancam perusahaan ikan sangkar.

“Kemudian, yang paling teruk sejak awal tahun ini apabila cuaca panas dan kemarau berlaku serentak. Akibatnya air sungai kering dan sangkar ikan sekarang tersadai di atas pasir,” katanya. #sumber

Bagikan ke

0 Komentar